Friday, April 11, 2014

Sejarah dan Latar Belakang Sekolah.

Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Marudi, Baram merupakan sebuah sekolah rendah bantuan yang ditubuhkan pada tahun 1929 oleh Kapitan En. Lim Ching Soon, En. Chai Sek Ling, En. Ch'ng Ting Seng, En. Chai Chao Tang, En. Chai Si Wan dan En. Sim Tao Jing.

Pada permulaan penubuhan sekolah ini, bangunan bilik darjah dibina sementara di belakang tokong cina. Manakala, guru besar pertama ialah En. Goh Jing Chew dan bilangan murid pada tahun pertama seramai 15 orang. Kemudian, pada tahun 1936, bangunan sekolah didirikan di lokasi sekarang iaitu di atas sebuah bukit yang berdekatan dengan Pekan Marudi.

Setelah 32 tahun, bangunan sekolah menjadi uzur. Oleh itu, pada tahun 1973, dua buah bangunan baharu iaitu blok pentadbiran dan blok A telah siap dibina hasil derma orang ramai dan dirasmikan oleh Menteri Tempatan Sarawak iaitu YB Sim Kheng Hong pada tanggal 4 November 1973.

Pada tahun 1992, atas usaha Lembaga Pengurus Sekolah dan guru besar, En. Chan Poh Chiang, dewan sekolah telah siap dibina untuk kegunaan warga sekolah. Manakala, dua buah bilik darjah di hujung blok A pula dibina pada tahun 1993 dan 1996.

Seterusnya, pada bulan Ogos 1998, blok B yang mempunyai tiga buah bilik darjah dan sebuah pusat sumber skolah telah siap dibina. Blok tersebut telah dirasmikan oleh YB Jacob Dungau Sagan, Ahli Parlimen Baram pada bulan Mei 1990. Manakala, pada bulan Disember 2001, bilik darjah yang terakhir dibina adalah di hujung blok B.

Demi keselamatan warga sekolah, pagar sekolah telah dibina dan siap pada bulan Disember 1999. Di sekolah ini juga telah ditubuhkan beberapa persatuan iaitu Persatuan Alumni pada tahun 1994 yang diketuai oleh En. Chai Ming Kwang. Selain itu, pada tahun 1997, ditubuhkan pula Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Pada tahun 2002, sekolah ini telah mempunyai 12 buah bilik darjah. Kemudian, pada 1 Januari 2003, sekolah ini telah dinaik taraf menjadi sekolah gred A. Pada tahun tersebut juga, sekolah ini telah siap dibina dengan sebuah stadium atau gelanggang bola keranjang tertutup dan pagar sekolah yang baharu. Guru besar sekarang ialah Pn. Hwong Leh Hua dengan 19 orang guru dan 3 orang staf sokongan. Semua guru di sekolah ini adalah guru terlatih dari IPG dan IPTA seluruh Malaysia.

No comments:

Post a Comment